Wednesday, February 6, 2013

[Wajib Baca] Isu Alkitab: Mufti Selangor Bidas Putrajaya Kerana Benarkan Penggunaan Kalimah "Allah"


Alkitab: Putrajaya Sendiri Nodai Undang-undang Islam, Kata Mufti Selangor

[TMI] KUALA LUMPUR, 7 April — Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menyifatkan langkah Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia sebagai tindakan “menodai” undang-undang Islam negara ini.

Tegas Tamyes, undang-undang Islam yang diamalkan selama ini telah “diceroboh” dan “dinodai” oleh pihak berkuasa termasuk pemimpin kerajaan yang beragama Islam.

“Undang-undang Islam telah diceroboh dan usaha-usaha menceroboh ini berlaku dari dalam... ini yang susah kerana Islam rosak apabila ada pihak yang menceroboh dari dalam.

“Undang-undang Islam ini telah dinodai, ada pihak yang buat undang-undang tapi mereka sendiri yang melanggar undang-undang yang telah dibuat dan ini adalah satu pencerobohan secara terhormat,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kecewa dengan tindakan Putrajaya itu, Tamyes juga menyokong cadangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar undang-undang Islam dibatalkan sekiranya Putrajaya masih bertegas dalam isu tersebut.

“Mereka buat undang-undang tapi diceroboh, sepatutnya undang-undang yang dibuat ini dipatuhi bukan dilanggar dan dinodai seperti ini.

“Undang-undang dinodai oleh orang yang berkuasa... orang yang mempunyai kuasa dalam kerajaan telah melanggar undang-undang sendiri, kalau macam ini hapuskan sahaja undang-udang Islam yang ada ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan langkah Putrajaya itu merupakan satu permainan politik yang jelas semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat terutamanya penganut Kristian.

“Bila tiba pilihan raya mesti jadi macam ini, ini adalah satu permainan politik yang jelas.

“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, undang-undang Islam tidak boleh dilanggar tapi apa yang berlaku sekarang ia dinodai oleh orang Islam sendiri... undang-undang Islam telah dinodai,” katanya.

Tambah Tamyes, beliau berharap agar Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan akan memandang serius akan perkara itu.

Kelmarin Harussani mencabar Putrajaya membatalkan undang-undang Islam sekiranya masih bertegas mahu membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia.

Mufti Perak itu menegaskan sekiranya Putrajaya membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil itu, maka secara automatik enakmen agama Islam yang tidak membenarkan agama lain menggunakan istilah eksklusif bagi agama Islam terbatal sama sekali.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab.

Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian,” kata Idris.

Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan “Penerbitan Kristian” (“Christian Publication”) dan tanda salib pada kulit hadapan.

Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut.

Harussani juga menegaskan mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini. -TMI 




P/s: Apa reaksi pencacai UMNO yang terpekik terlolong menyalahkan PR kerana kalimah Allah? Ap[a tindakan Perkasa dan pencacai yang lain apabila Putrajaya sendiri yang membenarkan penggunaan kalimah Allah?






No comments:

Post a Comment