Thursday, February 28, 2013

[PANAS] Bekas Ahli UMNO Bongkar Projek Khianat Negara



[KD] PETALING JAYA 28 FEB: Bekas ahli Umno, Siti Aminah Mahmud, 63, berkata, beliau bersama kumpulannya pernah membantu pendaftaran setengah juta kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin di Sabah untuk dijadikan pengundi BN.

Menurutnya, pendaftaran segera itu dibuat di bawah ‘projek IC Mahathir’ dari 1990 hingga 1994.

“Setiap kali dihantar berguni-guni (IC). Ia diproses dalam jangka masa sebulan. Katakan (pendaftaran) dibuat pada satu hari bulan, maka ia (IC) akan diserahkan pada tarikh yang sama pada bulan yang akan datang,” kata bekas ahli Umno Cawangan Skudai Kanan, Johor Bahru itu pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu ditemani Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Guaman, Latheefa Koya dan Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Dayangku Intan.

Siti Aminah berkata, pendaftaran projek IC itu bermula di pejabat Umno Sabah di Simbulan, dalam bangunan dimiliki Datu Mustafa Harun, pemimpin Usno Sabah.

Dedahnya, projek itu dibuat ‘dengan kerjasama’ Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang turut mengarahkan penerima IC terbabit mengundi BN dalam pilihan raya umum.

Siti Aminah berkata, semasa bertugas sebagai Pegawai Penerangan Umno, lima peranan beliau dalam ‘projek IC Mahathir’ adalah untuk membantu kempen Umno di Sabah, menambahkan undi Melayu, mencari pemastautin Sabah yang tidak memiliki IC dan memastikan Parti Bersatu Sabah (PBS) tumbang.

 
“Masa mengurus untuk orang ambil IC, kita pergi ke tempat yang sudah sedia dengan satu ‘ketua’. Bila kita sampai di satu-satu kawasan, senarai nama telah siap, meliputi nama asal atau bukan asal,” katanya.

“Bila kita tengok ada nama bertentangan dengan nama orang Islam, kita ubah jadi nama Islam. Lepas itu kita ambil gambar dan cap jari dan hantar ke pejabat Umno,” jelas Siti Aminah lagi.

Berita Berkaitan:

“Ini projek IC Mahathir, takkan ditangkap”

[KD] PETALING JAYA 28 FEB: Bekas tahanan ISA, Siti Aminah Mahmud diberi jaminan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun bahawa mereka yang terlibat dalam projek IC segera Sabah tidak akan ditangkap.

“Mula-mula saya takut ditangkap. Saya kata ini salah.Tapi Datu Mustafa kata projek ini diketuai oleh Dr Mahathir sendiri, (Tan Seri) Megat Junid. dan Aziz Shamsuddin.Takkan ditangkap,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.

Siti turut diberitahu Datu Mustafa, bekas pemimpin Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) itu dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Sabah sekiranya menang dalam pemilihan Umno.

“Kita ada dengar dalam taklimat, di pejabat Umno di Simbulan pada awal tahun 1990-an dulu,” katanya.

Siti Aminah ditahan dibawah ISA pada 20 September 1995 selama 60 hari di Johor sebelum disambung perintah tahanan selama dua tahun di Kem Kamunting.

Menurut Siti, pertuduhan dan sebab penanan ISA keatasnya adalah kerana memalsukan kad pengenalan, bersubahat dengan pegawai Jabatan Pendaftarn Negara (JPN) dan memalsukan borang JPN.

“Saya ditahan di Bukit Aman. Megat Junid menandatangani surat dan melanjutkan penahanan saya. Sedangkan saya tak pernah tengok dimana IC palsu dibuat…dan borang JPN diambil di pejabat Umno di Simbulan,” dedah Siti.

Siti memaklumkan, kad pengenalan tersebut boleh dikenalpasti melalui kod khas di bahagian belakang dokumen tersebut.

“Kod IC projek Mahathir ialah 04 dan 05. Kod ada di belakang kad pengenalan dan orang JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) boleh tahu,” katanya.

Tambah Siti, ada antara mereka yang terlibat dengan projek IC segera Sabah menjadi jutawan, berbanding dirinya yang hanya dibiaya tambang perjalanan hingga tiket ’penuh satu beg plastik’.

“Bila diingat semula, sangat menyakitkan hari,” kata Siti.

No comments:

Post a Comment