(Mahfuz dan rakan-rakannya melihat dokumen yang ditunjukan Deepak mengenai pembelian saham Astacanggih) |
LTAT Astacanggih: Pengerusi Bousted Diminta Beri Penjelasan
[HD] KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Pengerusi Boustead Holdings Berhad tampil memberikan penjelasan berhubung pembelian Astacanggih Sdn Bhd milik ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.
Beliau berkata, penjelasan itu penting kerana pembelian tersebut didakwa melibatkan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan anggota tentera.
"Kepentingan anggota tentera dalam LTAT tidak dilindungi kerajaan sebaliknya pembelian Astacanggih menunjukkan LTAT ditipu.
"Pengerusi Bousted perlu tampil ke hadapan untuk jelaskan kepada anggota tentera siapa yang mengarah beliau untuk mengambil alih Astacanggih yang akhirnya membawa kepada satu kerugian yang besar kepada LTAT.
"Sudah tentu ada tangan ghaib di belakang Bousted untuk membuat pembelian itu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Sebelum itu, Mahfuz mengadakan pertemuan dengan Deepak membincangkan permintaan Deepak yang ingin mendapatkan bantuan PAS bagi mendapatkan perlindungan saksi agar beliau terus boleh membuat beberapa pendedahan penting.
Dalam kenyataannya di sidang media itu, Deepak berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak perlu menyaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli apabila Rafizi mendakwa dia mengarahkan pembelian itu.
"Sebenarnya yang membuat arahan pembelian ini bukannya Zahid tetapi Datuk Seri Najib Sendiri.
"Jadi saya memohon Zahid supaya menarik balik saman kepada Rafizi itu kerana ia sudah jelas sekarang," kata Deepak dalam sidang media itu.
Bagi Mahfuz, apa yang berlaku kepada tanah LTAT amat mengharukan semua pihak.
"Bayangkan tentera kita berjuang untuk rakyat dan negara, tinggalkan negara untuk berkhidmat di seluruh dunia tetapi mereka dikhianati apabila kepentingan mereka tidak dilindungi bahkan tabung mereka, LTAT ditipu," kata Mahfuz.
Mahfuz berkata, dokumen yang ditunjukkan oleh Deepak kepada beliau amat mengejutkan tentang jenayah penyelewengan oleh pemimpin negara.
"Oleh itu saya minta pengerusi Bousted tampil ke depan dan jelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan beliau membeli syarikat milik Deepak ini yang membawa kerugian besar kepada kepentingan anggota dan bekas tentera.
"Saya minta beliau tampil sebelum dikambing hitamkan," kata Mahfuz.
PAS akan sokong Deepak pohon dilindungi sebagai saksi
[HD] KUALA LUMPUR: PAS akan menyokong surat permohonan Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi bagi membolehkannya membuat beberapa pendedahan penting.
Deepak akan menulis surat kepada Peguam Negara (AG) memohon perlindungan saksi (imuniti) bagi membolehkan beliau membuat pendedahan berhubung penyelewengan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri.
Beliau hari ini berjaya mendapatkan sokongan daripada PAS dan peguamnya bagi tujuan itu selepas pertemuan kira-kira satu jam di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Pertemuan dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Penolong Setiausaha, Dr Syed Azman Syed Nawawi, ahli jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Asmuni Awi yang juga peguam.
"Kami telah meneliti segala dokumen yang Deepak ada. Berdasarkan dokumen-dokumen itu, kami bersetuju untuk memberikan sokongan kepada permohonan Deepak untuk mendapatkan imuniti bagi mendedahkan segala dokumen ini," kata Mahfuz Omar dalam sidang media hari ini.
Deepak dalam sidang medianya berkata, beliau sangat memerlukan imuniti itu untuk membolehkan dia mendedahkan segala dokumen yang beliau ada.
"Penglibatan saya dengan pasangan Perdana Menteri sangat mendalam dan melibatkan 'top secret'.
"Saya minta bantuan PAS dan Pakatan Rakyat kerana saya yakin kerajaan BN tidak akan memberi perlindungan kepada saya selepas saya dedahkan semua penyelewengan itu," kata beliau pada sidang media sejurus selepas pertemuan.
Peguam PAS, Asmuni Awi pula berkata, beliau juga akan menulis surat kepada AG bagi menyokong permohonan imuniti tersebut.
Menurutnya, Deepak berhak mendapatkan imuniti bagi membuat pendedahan kerana berdasarkan kenyataannya, beliau bekerjasama dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana terpaksa.
"Imuniti itu sudah terkandung dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat di bawah Seksyen 2 (b) di mana Deepak dikira layak mendapatkan perlindungan kerana Deepak bagitahu dia lakukan semua tugas atas arahan, bukan sukarela.
"Saya pun akan tulis surat kepada AG selepas Deepak berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, Deepak memberitahu, beliau juga akan mengadakan sidang media di Singapura dan Dubai selain mengadakan siri jelajah untuk membuat pendedahan.
"Saya pilih Dubai Dan Singapura kerana media arus perdana di Malaysia tidak mahu melaporkan pendedahan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment