Thursday, February 28, 2013

Mengaku Rogol Budak Bawah Umur, Hukuman Hanya Setahun di Henry Gurney



[SH] KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang gadis keluar rumah tanpa pengetahuan bapanya menyambut malam tahun baru bersama teman lelakinya mengundang padah apabila dia menjadi mangsa rogol pemuda berkenaan.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bertanggungjawab teman lelakinya yang berusia 20 tahun dari Kampung Imam Lapar, Kuala Telemong itu menerima pembalasan selepas diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka oleh Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memutuskan perintah berkenaan selepas tertuduh mengaku bersalah telah merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 13 tahun di tepi jalan Kampung Gelam Kuala Telemong, Hulu Terengganu, pada 31 Disember lalu, jam lebih kurang 10 malam.

Memandangkan dia dikategorikan sebagai pesalah muda, Wan Fadhilah Nor memerintahkan dihantar ke sekolah tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun bagi memberi pengajaran serta tauladan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Hayatuddin Mohd.

Terdahulu dalam rayuannya, dia memohon agar diringankan hukuman kerana mendakwa kejadian itu bukan paksaan, sebaliknya mangsa merelakan selain sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.

Dalam masa sama, dia turut mengakui perbuatan yang dilakukan itu adalah satu tindakan sangat bodoh kerana terlalu mengikut hawa nafsu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, lebih kurang jam 7 pagi, mangsa telah keluar rumah untuk berjumpa dengan tertuduh di hadapan kedai T-Shoppe Kuala Telemong, menaiki kereta milik bapanya tanpa pengetahuan bapanya itu.

Tertuduh kemudiannya membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Imam Lapar, Kuala Telemong, sebelum keluar berjalan-jalan di bandar raya ini sehingga jam 9 malam.

Selepas itu, lebih kurang 20 minit kemudian, dalam perjalanan pulang, tertuduh telah memberhentikan kereta di tepi jalan Kampung Pelam, di sini, dan disitulah mangsa dirogol.

Setelah dirogol, mangsa telah dihantar oleh tertuduh ke rumah mak angkat mangsa di Jalan Batas Baru, di sini, lebih kurang jam 2 pagi.

Bagaimanapun, semasa di sana, mangsa terserempak dengan bapanya dan setelah disoal, mangsa menceritakan apa yang berlaku.

Mangsa dan bapanya telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Telemong pada keesokan harinya.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment