Thursday, February 28, 2013

Remaja Hamil 5 Bulan Dicekup Khalwat



[SH] AMPANG, Selangor - Seorang remaja perempuan yang mengandung lima bulan dan pasangannya ditahan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Penguatkuasa agama, mendapati lelaki berusia 20 tahun itu berseluar pendek tanpa baju, bersama pasangannya berusia 18 tahun memakai kemeja dan berseluar pendek ketika serbuan dijalankan di rumah sewa mereka di sebuah flat di sini, pada jam 1 pagi.

Pegawai Masjid Al- Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, lelaki terbabit membuka pintu bilik, manakala teman wanitanya sedang tidur ketika pemeriksaan dilakukan.

“Lelaki berkenaan memberi alasan akan bernikah dengan pasangannya itu dalam masa terdekat setelah keluarga remaja perempuan itu mengetahui anak mereka mengandung lima bulan,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai saling mengenali sejak tahun lalu dan mereka turut menyewa rumah berkenaan bersama tiga lagi abang kepada remaja perempuan terbabit.

“Lelaki yang bekerja di sebuah gerai burger untuk sementara waktu itu dipercayai telah tinggal lebih sebulan dengan kekasihnya itu. Remaja perempuan itu pula tidak mempunyai pekerjaan dan dipercayai tidak bersekolah sejak tingkatan dua,” katanya.

Pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk dibuat laporan tangkapan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 26, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan.
 
 
 

No comments:

Post a Comment