Wednesday, February 6, 2013

Rambo Bentong Hadapi Hukuman Penjara 115 Tahun, 50 Sebatan



[SH] RAUB - Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan ke atas Rabidin Satir, 43, bagi empat kesalahan rogol serta satu kes liwat, semalam.

Rabidin atau dikenali dengan gelaran 'Rambo Bentong' tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan bersahaja memasuki kandang tertuduh.

Sebanyak tiga kenderaan polis memantau perjalanannya dari Bentong yang turut disertai Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan demi pertuduhan, Rabidin mengaku bersalah terhadap kesalahan rogol pada 9 Julai 2009 antara jam 2 pagi dan 3 pagi dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri Marong, Bentong, melibatkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan itu diakui benar oleh Rabidin termasuk ketika gambar kes ditunjukkan kepadanya.

Bagi kes kedua, Rabidin mengaku bersalah melakukan jenayah rogol pada 21 Jun 2010 antara jam 1 pagi dan 3 pagi dalam bilik di KM5, Jalan Kuala Lumpur - Bentong, melibatkan mangsa, remaja berusia 17 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu juga diakui benar selepas Jurubahasa Mahkamah menunjukkan gambar kes kepadanya.

Rabidin juga mengaku bersalah bagi kes ketiga melibatkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi pada 29 April tahun lalu.

Sementara itu, Rabidin turut mengaku bersalah bagi kes keempat melibatkan mangsa, remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan liwat dalam bilik sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi.

Ketika diberi peluang berbicara, Rabidin mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan dan berharap agar diampunkan dunia akhirat.

Rabidin juga memohon maaf atas kesalahan bagi kes kedua kerana ia dilakukan dalam keadaannya khayal dan mabuk.

Dia turut meminta agar mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atasnya bagi kes pertama dan kedua.

Bagaimanapun, Rabidin bertindak mendiamkan diri dan tidak mahu memohon sebarang rayuan ketika diberi peluang untuk kes ketiga, keempat dan kelima.

Hakim Murtazadi Amran membacakan hukuman yang dijalankan secara berasingan iaitu masing-masing 25 tahun penjara dan 10 sebatan bagi empat kesalahan rogol, sementara kesalahan liwat pula dikenakan 15 tahun penjara serta 10 sebatan.

Secara keseluruhannya, Rabidin perlu menjalani hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan bagi keseluruhan kes yang diputuskan semalam.

Dalam perkembangan lain, Rabidin turut hadapi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota polis pada hari dia ditangkap 14 November tahun lalu berhampiran Taman Syahbandar Hussain, Bentong.

Rabidin dituduh mencederakan anggota polis dengan senjata miliknya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.



No comments:

Post a Comment