Monday, January 21, 2013

Debat PR-BN, Kerusi untuk Zambry Disediakan, Persoalannya....


Adakah Dr. Zambry berani menghadiri majlis tersebut dan seterusnya menjadi wakil BN berdebat dengan wakil PR?

 
[SH] IPOH – Meskipun masih belum mendapat sebarang maklum balas secara rasmi, Jawatankuasa Teknikal Debat Darul Ridzuan yang berlangsung esok, tetap akan menyediakan kerusi khas untuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Setiausaha DAPSY Perak, Howard Lee berkata, sehingga kini pihaknya masih menaruh harapan tinggi agar barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) diketuai Zambry akan hadir bagi menjayakan debat terbuka bersama Pakatan Rakyat (PR) Perak.

Menurutnya, berdasarkan surat rasmi jemputan yang dihantar ke Pejabat Umno Negeri, 16 Januari lalu, tiada sebarang maklum balas secara rasmi diterima berhubung penolakan atau penerimaan penyertaan Zambry dalam debat berkenaan.

“Kita masih menaruh harapan tinggi agar debat ini berlangsung seperti yang dirancang, kita akui belum dapat apa-apa sebarang maklum balas lagi dan kerana itu kita mengambil pendirian positif, kemungkinan menteri besar akan menyertai sesi debat ini.

“Atas pendirian itu, kita barisan jawatankuasa teknikal tetap akan mengosongkan beberapa kerusi khusus untuk kepimpinan BN pada malam debat berlangsung,” katanya pada satu sidang media, di sini, semalam.

Debat yang bakal berlangsung di Hotel Excelsior jam 8 malam itu menampilkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, manakala Zambry dipelawa sebagai mewakili BN.

Debat terbuka berkenaan dianjurkan bagi mengupas lebih mendalam berdasarkan hujah dan bukti mengenai isu yang pernah dibangkitkan kedua-dua parti sama ada di dalam atau luar Sidang Dun.

Antara isu yang bakal mendapat perhatian ramai adalah pendedahan bukti mengenai isu pemilikan tanah seluas 4,200 hektar di Kelantan yang turut mengaitkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, semalam Zambry dikatakan enggan melayan kerenah Mohammad Nizar untuk berdebat kerana menganggap pemimpin Pas itu tidak akan menerima apa sahaja penjelasan yang diberikan sama seperti isu projek hab bijih besi Vale di Teluk Rubiah, Lumut.

Mengulas perkara itu, Jawatankuasa Strategik dan Isu Pas Negeri, Safarizal Saleh mahu, Adun Pangkor itu bertindak profesional sesuai dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

“Kita sudah menghantar jemputan secara rasmi dan sewajarnya mereka juga boleh memberikan jawapan secara rasmi,” katanya.


P/s: Harap-harap MB yang pernah mengajar TM di universiti dahulu tidak kecut seperti bosnya.


 

No comments:

Post a Comment