[SH] ALOR GAJAH - Gara-gara jatuh hati terhadap isteri orang, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun tergamak menculik dan mengurung wanita terbabit yang baru habis pantang di sebuah rumah, di sekitar daerah ini, sejak minggu lalu.
Suami wanita terbabit, Zulhairi (bukan nama sebenar), 30, berkata, pada 16 Mac lalu sebaik terjaga dari tidur, dia terkejut menyedari isterinya, Suraya (bukan nama sebenar), 28, tiada di sebelah dan sebuah beg juga hilang sebelum cuba mencarinya di kawasan sekitar.
“Saya lihat isteri sudah tiada, namun bayi kami yang berusia dua bulan masih tidur sebelum saya mengangkatnya dan terus keluar mencari isteri selama tiga hari berturut-turut.
“Selang dua hari kemudian saya dapat hubungi lelaki terbabit, dikenali sebagai Asyraf (bukan nama sebenar), 20, dan katanya, dia akan pulangkan isteri saya. Kemudian kami rancang untuk berjumpa berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, kira-kira jam 8 malam.
“Namun sebaik sahaja dia terpandang saya, dia terus memecut motosikalnya menghala ke Pulau Sebang dan kelihatan isteri saya membonceng motosikal itu.
“Saya tak tahu di mana isteri saya disembunyikan sekarang dan saya sangat bimbang sekiranya dia diapa-apakan lelaki terbabit yang bijak berpura-pura dan bermulut manis,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan berkenaan dan kejadian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
No comments:
Post a Comment