Sunday, March 10, 2013

[PANAS] Najib Umum 9 Perkara untuk Kakitangan Awam



[SH] SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor awam meletakkan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga lima perkara penting termasuk elaun perumahan dan isu gaji maksimum.

Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin akan ada dua pengumuman penting berkenaan dengan elaun perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara," kata pemimpin kanan Cuepacs.

Bagaimanapun kata pemimpin, "saya tidak melihat akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji dibuat tahun lalu."

Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal kajian semula elaun sepertu elaun perumahan dan elaun sara hidup (Cola)."

Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara perkara penting diumumkan oleh perdana menteri.

"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.

"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang pada masa sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatka kepentingan keseluruhan kakitangan awam," katanya.

Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan hasil kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak Jun lalu diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada hari ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman menarik mengambil kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja Malaysia, yang diumumkan akhir Januari lalu.

Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas, iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.

"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi, kakitangan agensi lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini antara yang penting," katanya. Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola tidak kira zon. Begitu juga elaun perumahan yang dilihat rendah mengambil kira kos hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.


Kemas Kini:

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' 10 perkara yang dinantikan 1.4 juta kakitangan awam.

Antaranya:

- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM & PDRM dari gred 27 kepada gred 29; Kapten ATM dan Pen Penguasa Polis dari gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari gred 48 kepada 52

- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian

- Skim perkhidmatan dari gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat itu

- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak

- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi

-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan berkuat kuasa 1 Januari 2013.

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca"

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion

- Semua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST).


No comments:

Post a Comment