Tuesday, January 29, 2013

Wanita Perangkap Suami dengan Racun di dalam Alat Sulitnya



[HM] Rio De Janeiro: Seorang wanita dituduh cuba membunuh suaminya dengan meletakkan racun dalam alat sulitnya sebelum meminta lelaki terbabit melakukan seks dengannya.

Lelaki berusia 43 tahun yang terkejut itu kini menyamannya atas cubaan membunuh.

Wanita dari Sao Jose do Rio Preto di Brazil itu meletakkan bahan bertoksik dalam kemaluannya sebelum menggoda suami untuk tidur bersama, lapor akhbar tempatan semalam.

Namun apabila dia meminta suaminya melakukan seks oral kepadanya, lelaki itu dikatakan enggan kerana menyedari ada bau aneh. 
 
Lelaki yang curiga itu kemudian membawa isterinya ke hospital, di mana doktor menjalankan ujian terhadapnya dan mendapati dia meletakkan bahan beracun dalam kemaluannya. - TS 
 
 
 

[Wajib Baca] Mengapa Selangor Enggan Salurkan Perbelanjaan Modal kepada SYABAS, Ke Mana Dana Awam RM700 Juta Dibelanjakan oleh SYABAS? Baca!



[Selangorku] SHAH ALAM 26 JAN : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) didakwa mengunakan dana awam untuk kepentingan sendiri dan tidak untuk tujuan menjaga kepentingan rakyat dalam urusan membekalkan air secukupnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini menunjukkan kegagalan Syabas memberikan perkhidmatan kepada masyarakat berikutan tindakan sepatutnya dilakukan, tidak dilaksanakan.

Menurutnya, seharusnya Syabas memberikan perkhidmatan kepada rakyat termasuk memastikan semua peralatan dalam keadaan baik.

“Tiga tahun lepas, dia belanja hampir RM700 juta bukan membetulkan paip tetapi dia membeli kereta, membaiki rumah pejabat. Pejabat tidak boleh membetulkan paip.

“Jadi duit rakyat digunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya,” katanya dalam ucapan meraikan jentera pilhanraya Ijok dan Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Menteri Besar berkata, Syabas juga sudah diberikan peruntukan secukupnya termasuk memperoleh hasil pendapatan tinggi daripada orang ramai.

Maka itu, katanya tindakan Kerajaan Negeri tidak menyalurkan perbelanjaan modal (Capex) tidak harus dipersoalkan.

“Kalau Syabas tidak ada duit untuk membaiki paip air, buat apa kita suruh dia buat kerja. Setiap bulan dapat beratus juta duit kutipan, ke mana duit itu pergi,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu diberi hak dalam perkara itu dan rakyat perlu bertindak membetulkannya dengan menukar pentadbiran negara.
 
 
P/s: Duit bil air tibai, duit rakyat pun tibai....!
 
 
 

Monday, January 28, 2013

TG Nik Aziz Rela Hati Lepaskan Nasharuddin Mat Isa



[SH] KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak menghalang bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa daripada menyertai mana-mana parti lain dan dengan rela hati melepaskannya.

Di sebalik apa yang berlaku terhadap Nasharudin, Nik Aziz berkata, terpulang kepada beliau untuk menyertai parti lain.

“Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini (isteri ) itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi  boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti).

“Dalam syarikat ekonomi dia (pengurusan) buang rakan kongsi dan apa sekali, kita hidup atas dunia ini ada peraturan. Islam adalah disiplin seratus peratus dunia akhirat. Islam adalah cara nak selamatkan dunia,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Pakar Ternakan Lebah Kelulut di Min House Camp, Kubang Kerian yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.


 P/s: PEDAS!!!



[Gambar] Imej Hantu Gergasi Dirakam di Jeddah



Seorang pelajar kejururawatan Arab mendakwa berjaya merakamkan imej yang disifatkannya sebagai "hantu gergasi". Pelajar itu mendakwa objek yang bergerak laju itu dirakam secara tidak sengaja ketika dia merakam suasana malam di kawasan berdekatan pantai di Gulf Kingdom.

Ibrahim bin Abdullah Al Aini, pelajar kejururawatan di sebuah kolej swasta di barat Laut Merah di pelabuhan Jeddah, berkata dia berjalan di kawasan berdekatan pantai pada malam minggu. Dia kemudiannya merakam gambar bulan dengan menggunakan kamera telefon bimbit.

"Saya memfokuskan kamera telefon bimbit ke arah bulan dan kemudiannya merakamkan gambar ... tiba-tiba satu objek bergerak laju dan berjaya dirakam oleh kamera saya ... Imej itu benar-benar menakutkan kerana kelihatan seperti hantu gergasi," katanya dipetik oleh Sabq, akhbar harian berbahasa Arab. -DCM/Emirates







"Banglo itu milik saya"- Bekas Pengarah Siasatan jenayah Bukit Aman



[SH] IPOH – “Ya, memang itu banglo milik saya.” Itu reaksi jujur bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menjawab kontroversi siapa pemilik sebuah banglo mewah di Seksyen 10, Shah Alam yang dipaparkan di beberapa laman blog.

Katanya, beliau tidak sedikitpun terjejas dengan pendedahan tersebut yang mengaitkannya sebagai pemilik banglo tersebut selain menimbulkan pelbagai persoalan termasuk mempertikaikan kemampuannya memiliki kediaman besar dan mewah seperti itu.

Menurutnya, banglo tersebut dibina di atas tanah seluas 7,000 kaki persegi yang dibelinya pada 2004 berjumlah RM15 setiap kaki dengan harga istimewa sebagai kakitangan awam ketika itu.

Tambahnya, beliau mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan sekiranya ada pihak ragu-ragu terhadapnya.

“Ketika itu nilai tidak sampai RM1juta pun. Malah, pembinaan rumah itu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengamalkan penjimatan ketika bekerja dalam kerajaan termasuk wang simpanan bersama isteri.

“Saya juga turut menjual dua buah rumah teres di kawasan Gombak dan Shah Alam untuk membina rumah dua tingkat setengah itu,” katanya.

Fauzi mengakui memang ada tunjuk perasaan yang membantah pembinaan banglo itu kerana ia berhampiran Masjid Negeri dan sebuah hotel terkemuka di kawasan berkenaan.

"Nilai hartanah kini yang semakin meningkat menyebabkan orang ramai mempertikaikan kemampuan beliau memiliki rumah di kawasan terbabit," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan gambar banglo mewah itu di shahalamrebels.blogspot.com.

Blog tersebut menimbulkan beberapa persoalan termasuk bertanyakan dari mana datangnya sumber kekayaan Fauzi hingga mampu membina banglo mewah tersebut.

Antara persoalan yang diketengahkan di blog tersebut adalah: "Mana datangnya duit untuk membina sebuah mahligai mewah yang dikatakan punya kemudahan lif ini?

"Adakah kekayaan ini dikumpul ketika berkhidmat di dalam kerajaan dahulu?" dan "Pembinaan banglo mewah ini pernah mendapat bantahan penduduk di situ kerana dibina di kawasan riadah.

"Ataupun benar dakwaan kononnya beliau menerima RM15,000 setiap kali berceramah?"

Mengulas lanjut, Fauzi menjelaskan, walaupun hampir 10 tahun berlalu, rumah itu pun masih belum siap sepenuhnya dan walaupun beliau bersama keluarga telah menduduki banglo terbabit setahun lalu.

“Harga dulu berbeza dengan sekarang dan logiklah jika orang ramai tertanya-tanya dengan satu-satunya harta saya itu. Empat anak lelaki saya turut membantu memberi dana,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihanraya Kawasan Larut berkata, tindakan beberapa pihak mendedahkan gambar rumahnya itu sedikit pun tidak menjejaskan gerak kerja beliau untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Saya langsung tidak berasa risau dengan pendedahan itu dan tidak menjejaskan gerak kerja saya untuk memenangi hati pengundi-pengundi di Parlimen Larut.

“Malah, tiada istilah takut dengan pengundi kerana saya telus terhadap perkara ini dan rakyat lebih memahami pemimpin mereka,” katanya.

P/s: Lampu hijau sudah diberikan. Apa tunggu lagi SPRM? Kalau mahu siasat, siasat juga harta pemimpin BN!


Aksi Nik Aziz dan Karpal Singh Bikin UMNO Terkedu


[SH] SHAH ALAM - Di sebalik laporan bahawa kedua-dua mereka bertembung dalam isu hukum hudud dan bagi menyatakan hubungan erat dalam Pakatan Rakyat (PR), Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengunjungi rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh di Jelutong, Pulau Pinang.

Nik Aziz tiba di kediaman Karpal kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam di Jalan Scotland.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berada dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang untuk memenuhi beberapa program anjuran Pas di negeri itu.

Ia dilihat sebagai pertemuan bersemuka kedua selepas konvensyen nasional PR tahun 2009 di Shah Alam dan juga ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu negara 12 Januari lalu.

Dalam kunjungan itu, Nik Aziz turut memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulang tahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas dan PKR.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata, beliau terkejut kerana pemimpin Pas itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya dipetik Harakah Daily.

Pada konvensyen 19 Disember 2009, Nik Aziz menyifatkan "di dada Karpal Singh ada bulan" dengan merujuk kepada lambang Pas adalah bulan, pada jaket khas dikenakan pemimpin DAP itu.

Nik Aziz berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup konvensyen pertama PR.

Sebelum Nik Aziz berucap, Karpal telah memberikan ucapan dengan berkata, beliau bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi di antara Nik Aziz dan 'Tok Guru Abdul Hadi'.

Karpal berkata demikian ketika menceritakan bahawa pihak sekretariat konvensyen yang bimbang bila beliau akan memberikan ucapan penutup.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz...apa salahnya...saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan tiga tahun lalu.

Kedua-dua mereka mempunyai sejarah perhubungan tersendiri dan konvensyen 2009 mencatat satu sejarah baru politik negara.

Dalam pada itu, Harakah Daily semalam memetik Nik Aziz mempelawa rakyat negeri Pulau Pinang melawat Kelantan yang didakwa terlalu miskin oleh Kerajaan Pusat.

Pelawaan itu dibuat beliau ketika memberikan tazkirah Zohor sempena lawatannya ke Masjid Jamek Batu Uban iaitu masjid pertama yang dibina di Pulau Pinang tengah hari semalam.

"Marilah pula ke Kelantan lawat negeri miskin sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri bila berkempen. Saya pun hairan yang dikatakan miskin macamana sedangkan kapal terbang banyak yang turun menandakan banyak pelancong tiba, " jelasnya.

Beliau bersyukur memimpin negeri yang didakwa miskin kerana tidak payah mengarahkan penangkapan penyelewengan, rasuah atau memberi projek kroni. 

Sebaliknya hanya mengarahkan pembangunan rohani supaya diseimbangkan dengan jasmani.



P/s: Terbaik. Yang pasti UMNO terkedu!




Nasharuddin Tiada dalam Senarai Calon PRU & Digugur Sebagai Ahli Majlis Syura; Mengapa Zambry, Najib, Muhyiddin, Hassan JATI Pula yang Kecewa???


Nasharuddin Tidak Tersenarai Sebagai Calon PAS - Nik Aziz

[Bernama] KOTA BAHARU: Anggota Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa tidak disenaraikan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun tidak menjelaskan sebab bekas Timbalan Presiden PAS itu tidak dicalonkan lagi.

"Seingat saya nama dia tidak disenaraikan dalam pencalonan kawasan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, Isnin.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas laporan mengenai pengguguran Nasharuddin dalam Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu.

Menyifatkannya sebagai bukan satu tindakan yang pelik, Nik Abdul Aziz menyamakan pemecatan itu sebagai perceraian suami isteri dan persatuan sukan.

"Pelik apanya? Suami isteri lagikan bercerai. Persatuan bola sepak pun ada orang pecat. Jurulatih pun kena pecat," katanya, sambil menambah bahawa Nasharuddin masih kekal sebagai anggota parti itu.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengguguran Nasharuddin itu disebabkan masalah dalaman lain.

"Itu saya tak mahu sebut pasal keburukan orang dan setiap apa yang berlaku itu ada kaedahnya," katanya.

Nasharuddin pada Isnin dilaporkan berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada Majlis Syura sebaliknya hanya mengetahui berhubung perkara itu melalui media.

Laporan sebelum ini menyebut Majlis Syura menyingkirkan Nasharuddin kerana beliau kerap tidak hadir mesyuarat selain sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan.

Di IPOH, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, rakyat khususnya penyokong PAS akan menilai sendiri tindakan parti itu menggugurkan Nasharuddin.

Zambry berkata tindakan itu juga akan menyedarkan mereka tentang perjuangan sebenar PAS.

"Rakyat akan menghukum mereka pada pilihan raya ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-11 Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perak, Isnin.

Beliau berkata bukan semua anggota parti itu "pak turut".

Ada di kalangan mereka yang mempunyai pandangan sendiri berhubung sesuatu perkara, katanya. 


Pengguguran Nasharuddin Bermotif Politik - PM

[Bernama] KUALA LUMPUR: Tindakan PAS menggugurkan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura dilihat bermotif politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tindakan itu dibuat selepas Nasharuddin, yang juga Anggota Parlimen Bachok, kembali dari menyertai lawatan kemanusiaan ke Gaza memberi persepsi bahawa ia ada kaitan dengan lawatan itu.

"Sepatutnya dia (PAS) menghargai lawatan ini sebab lawatan ini untuk kepentingan ummah dan kepentingan umat Islam.

"Tapi nampaknya mereka melihat ini sebagai lebih menguntungkan kerajaan, Umno daripada PAS.

"Mungkin itu menyebabkan mereka mengambil tindakan terhadap Ustaz Nasharuddin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum petang sempena Forum Tindakan Belia 2013 di sini, Isnin.

Najib berkata Nasharuddin adalah seorang yang percaya kepada kesatuan dan penyatuan ummah serta berpendirian bahawa perpaduan penting untuk mewujudkan satu ummah.

"Saya tak nak buat apa-apa spekulasi tapi dia (Nasharuddin) merupakan seorang pemimpin yang berjuang bukan untuk menidakkan mana-mana parti politik, dan sepanjang perjumpaan saya dengan beliau, beliau tidak mengutuk mana-mana pihak," katanya.

Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata pada Ahad bahawa Nasharuddin digugurkan kerana didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti ditetapkan Majlis Syura, dan keputusan telah dibuat pada 13 Januari lepas dalam mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Zawawi berkata antara sebab keputusan itu diambil ialah kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti, iaitu tidak hadir mesyuarat.

Sementara itu, Najib berkata matlamat utama lawatan beliau ke Gaza berjaya dicapai.

"Sepatutnya matlamat kita membantu rakyat Palestin, memperjuangkan isu Palestin dan tak membiarkan mereka terpinggir dan keseorangan.

"Dan mereka (rakyat Palestin) amat menghargai lawatan tersebut," katanya. 


Hasan Ali: Lucut Nasha 'gembirakan' parasit dalam Pas

[SH] SHAH ALAM – Tindakan Majlis Syura yang menggugurkan keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari badan itu sudah dijangka malah turut dinanti-nantikan oleh pimpinan ‘parasit’ dalam parti itu.

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mendakwa, berita pemecatan itu sudah lama dinantikan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menyenangi tindak tanduk Nasharudin yang sebelum ini menghentam secara terbuka Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh kerana didakwa menghina Islam secara terang-terangan.

“Parasit dalam pimpinan Pas memang sudah lama mencari ruang dan peluang untuk mencantas beliau (Nasharudin). Golongan ini tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keputusan Majlis Syura adalah di luar bidang kuasa mereka.

“... keputusan Majlis Syura ini sudah tentu menjadikan puak-puak parasit dan Anwarinas begitu lega dan menarik nafas panjang kerana cita-cita mereka sudah tertunai,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemecatan Nasharudin dari Majlis Syura, Hasan turut mendakwa pimpinan parasit juga tidak menyenangi tindakan Nasharudin apabila beliau telah mencadangkan supaya Pas mengkaji semula kedudukan tahaluf siyasi bersama PR.

Dakwanya lagi, ketidakpuasan mereka membuak lagi apabila melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu ulama di Mekah dan Palestin sambil melabelkannya sebagai pro-Umno.

“Saya yakin selepas ini, Nasharudin akan menerima nasib yang sama seperti saya iaitu dipecat daripada menjadi ahli Pas.

“...kedudukan beliau kini lebih lemah daripada saya ketika dipecat kerana beliau merupakan ahli biasa parti sementara saya sewaktu itu adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Lajnah Politik dan mewakili Pas dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya yang dipecat awal tahun lalu.

Beliau menambah, berita mengenai pengguguran itu tidak memeranjatkan malah, usaha untuk menjatuhkan karier politik Nasharudin dakwanya telah bermula sejak beliau kecundang dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan Muktamar 2011.

“Rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pimpinan Pas terserlah apabila melalui perancangan yang teliti dan dibantu oleh kuasa luar secara jarak jauh dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Pas,” dakwanya.

“Penyingkiran Nasharudin juga menjadi satu kerugian besar buat Pas apabila ramai pemimpin parti itu masih tidak setanding dan tidak mempunyai kualiti yang sama sepertinya. Beliau boleh diletakkan di kerusi pimpinan parti yang mampu berdepan dengan pimpinan dunia sama ada di Timur ataupun Barat kerana kebolehan beliau menguasai beberapa bahasa dunia,” katanya.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh yang dihubungi Sinar Harian Online mengesahkan berita itu dan menyatakan keputusan itu dibuat kerana Nasharudin didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan badan itu.

Pada September lalu, Nasharudin dan Majlis Syura dilaporkan menjadi tumpuan dengan membincangkan nasib bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharudin.

Seperti yang diramalkan pemerhati dan kebanyakan pemimpin kanan parti ketika itu, beliau 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.

Ketika itu, Nasharudin menjadi tumpuan ekoran gesaan beliau agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Karpal dalam isu hudud.


Laporan lain oleh SH:



P/s: Bersungguh-sungguh UMNO membela Nasharuddin. Cuma kalau nak luah rasa kecewa, mahu membela Nasha, lihatlah fakta dan sebab dia dipecat. Jangan melulu!

Kalau mereka berpendapat Nasha pemimpin yang penting dan berwibawa, apa kata BN mencalonkannya dalam PRU13 nanti?



Kemas Kini:

Pas: Lucut Nasha bukan tindakan politik

[SH] SHAH ALAM - Pas menafikan tindakan dikenakan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa - dilucutkan sebagai anggota Majlis Syura - bermotifkan politik dan ada kaitan dengan lawatan ke Gaza bersama rombongan kerajaan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melucutkan Nasharudin sebagai ahli Majlis Syura tidak melibatkan politik seperti yang digembar-gemburkan media.

Menurutnya, Pas telah membuat keputusan melalui mesyuarat Majlis Syura pada 13 Januari lalu untuk menggugurkan Nasharudin berikutan komitmennya yang tidak baik.

Beliau berkata, jadi perkara tersebut tidak mempunyai sebarang unsur politik, walaupun ada yang cuba mengaitkan tindakan Nasharudin bersama rombongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gaza minggu lalu.

"Tak ada kena-mengena dengan politik.

"Kita mengambil keputusan itu pada 13 Januari lalu, namun saya tak pasti bila surat rasmi dihantar kepada Nasharudin.

"...seperti kita katakan sebelum ini, kita ambil tindakan sedemikian disebabkan komitmennya yang kurang memuaskan," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Najib mendakwa tindakan melucut Nasharudin lebih bermotifkan politik.

Ini berikutan tindakan itu diambil selepas Nasharudin pulang dari rombongan Najib dari Gaza.

Bagaimanapun, Najib berkata, Pas sepatutnya menghargai lawatan Nasharudin ke sana demi kepentingan umat Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Nasharudin sering mengadakan lawatan bersama kerajaan sebelum ini.

Namun, beliau berkata Majlis Syura tidak pernah mengambil tindakan terhadap Nasharudin yang mengikuti lawatan tersebut.

"Tak ada kena-mengena dengan lawatan, dulu pun Nasharudin pergi juga.

"Namun kita tak pernah pula ambil tindakan, kalau sebab ini yang dikatakan kita ambil tindakan sebegitu padanya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustaffa Ali turut mengakui punca pengguguran Nasharudin bukan disebabkan faktor politik.

Beliau berkata, tindakan Majlis Syura itu dibuat berdasarkan prestasi Nasharudin yang kurang memuaskan.

"Saya memang bukan ahli Majlis Syura, tapi saya diberitahu Nasharudin digugurkan pada 13 Januari lalu sebelum beliau pergi ke Gaza.

"Jadi bukan faktor politik lah, Majlis Syura ambil tindakan sebegitu, tapi prestasi beliau," katanya lagi.