SAYA mengalu-alukan cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya saya menyatakan sama ada barangan berjenama 1Malaysia yang kini ditawarkan oleh Barisan Nasional akan dihentikan sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13.
Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian yang jelas bermula dari Buku Jingga dan diperincikan di dalam dokumen-dokumen belanjawan serta Manifesto Rakyat.
Dalam menangani bebanan sara hidup yang dihadapi rakyat, cara terbaik adalah dengan menyelesaikan dua perkara – pertama, dengan mengawal dan menurunkan harga barang dan kedua, mengurangkan beban hutang rakyat akibat herotan dalam pasaran.
Pendekatan Pakatan Rakyat adalah dengan menyelesaikan masalah struktur ekonomi yang menyebabkan harga barang naik dan beban hutang melambung, sehingga mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat. Ini termasuklah menghapuskan monopoli, mengurangkan kos asas perniagaan, mengurangkan kos pengangkutan, memastikan subsidi sampai kepada rakyat dan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta yang membebankan rakyat.
Pendekatan ini adalah lebih baik dari cara Barisan Nasional yang tidak mahu menyelesaikan masalah-masalah struktur ekonomi ini, sebaliknya hanya menawarkan beberapa barangan yang diberikan subsidi di bawah jenama 1Malaysia. Oleh kerana barangannya terhad dan edarannya tidak menyeluruh ke seluruh negara, pendekatan ini hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja. Ia tidak berkesan dan tidak membantu meringankan bebanan sara hidup setiap rakyat.
Oleh yang demikian, saya berbesar hati untuk mengupas isu ini dengan lebih panjang dan menyatakan pendirian sama ada akan menghapuskan barangan 1Malaysia di dalam satu forum ekonomi yang turut disertai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jika beliau berani membuat cabaran terbuka kerana yakin dengan pendekatan ekonomi Barisan Nasional, beliau tidak perlu gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu forum ekonomi agar rakyat boleh membuat pilihan yang lebih baik.
Rafizi Ramli
P/s: Adakah Muhyiddin juga PENAKUT seperti bosnya?
No comments:
Post a Comment