Showing posts with label P Balasubramaniam. Show all posts
Showing posts with label P Balasubramaniam. Show all posts

Saturday, March 16, 2013

Peguam Kanan Didakwa Draf SD 2 Bala Atas Arahan....



'Cecil Abraham Ada Tangan dalam SD2'

[MK] Peguam Americk Singh Sidhu mendakwa, peguam Cecil Abraham memberitahunya bahawa beliau menyediakan akuan bersumpah kedua (SD) untuk bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam atas arahan perdana menteri.

Americk, bekas peguam kepada mendiang Balasubramaniam atau lebih dikenali sebagai PI Bala dikatakan mendedahkan perkara ini semasa mesyuarat agung tahunan Bar Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Sivarasa Rasiah melaporkan perkembangan itu melalui pesanan tweet semasa AGM, yang sedang berlangung ketika laporan ini ditulis.


Cecil Abraham Draf Pengakuan Bersumpah Kedua ‘PI Bala’, Kata Americk

[TMI] KUALA LUMPUR, 16 Mac — Peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham yang mendrafkan pengakuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P. Balasubramaniam melibatkan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, kata peguam Americk Singh Sidhu.

Americk yang merupakan peguam Balasubramaniam, juga menambah usul SD kedua Balasubramaniam pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam ke-67 hari ini telah digugurkan, memandangkan pencadang berpuas hati dengan langkah diambil Majlis Peguam untuk menangani isu tersebut.

"Tan Sri Cecil Abraham mengakui kepada saya bahawa telah mendrafkan pengakuan bersumpah kedua," kata Americk kepada wartawan yang ditemui selepas AGM Majlis Peguam hari ini.

"Saya tidak berminat untuk buat aduan dengan lembaga disiplin peguambela dan peguamcara. Itu bukan agenda saya. Agenda saya ialah mencari siapa yang mengarahkan beliau melakukannya," tambah Americk.

Balasubramaniam ataupun dikenali "PI Bala" menuduh beberapa personaliti pegawai tertinggi kerajaan yang terlibat dalam pembunuhan Altantunya dalam SD pertamanya pada tahun 2008, dua tahun selepas pembunuhan kejam.Walaubagaimanapun beliau menarik balik SD tersebut keesokkan harinya dan menandatangani SD baru serta menafikan penglibatan personaliti tersebut.

Balasubramaniam telah meninggal dunia semalam akibat serangan jantung, beberapa minggu selepas pulang daripada persembunyian.

Dua bekas anggota unit tindakan khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri telah dijatuhi hukuman kerana membunuh Altantunya dan menghadapi hukuman mati.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan mereka pada Jun ini.

Americk berkata kedua-dua Sirul dan Azilah bertindak mengikut arahan memandangkan "tiada sebab untuk mereka membunuh seseorang yang mereka tidak kenali."

"Lihat pada kenyataan 112 Sirul. Dia berkata secara langsung telah ditawarkan antara RM50,000 ke RM100,000 untuk membunuh wanita tersebut," kata peguam itu.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka telah dibebaskan pada tahun 2008.

Presiden Majlis Peguam Christopher Leong hari ini berkata Majlis Peguam akan membuat aduan keatas salah laku peguam senior Tan Sri Cecil Abraham kepada Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara (ASDB) minggu depan.

Leong, 50, juga berkata Majlis Peguam akan meminta Americk dan usahawan karpet Deepak Jaikishan menyerahkan kenyataan rasmi dengan segera.

Deepak telah mengakui membantu mendiang Balasubramaniam menarik balik SD pertamanya termasuk mencari dua peguam untuk mendrafkan kenyataan baru.



Berkaitan:

Majlis Peguam Akan Fail Aduan Terhadap Peguam Kanan

[MK] Majlis Peguam memutuskan untuk membuat laporan dengan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara ekoran dakwaan berlaku salah laku profesional melibatkan peguam kanan Cecil Abraham.

Pengerusi majlis itu yang baru dipilih Christopher Leong (kiri) berkata, Bar juga akan mendesak pendakwaan dibuat, terutamanya oleh peguam negara, untuk membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang melibatkan dua anggota polis.

"Perkara ini diputuskan oleh mesyuarat majlis hari ini sejurus selepas perhimpunan agung tahunan (AGM) dan kami akan membuat laporan segera pada DB (lembaga disiplin)," kata Leong.

"Kami juga akan mengumpulkan kenyataan daripada (peguam) Americk Sidhu dan peniaga karpet Deepak Jaikishan. Terdapat beberapa bukti baru yang membawa kepada kes ini sejak akhir tahun lalu, dan kini.

"Jadi kami akan membuat laporan kepada DB minggu depan dan mendesak AG untuk membuka kembali fail. Seperti yang kamu tahu, diada motif jelas dalam pembunuhan ini."


Majlis Peguam Akan Rujuk Cecil Abraham ke Lembaga Disiplin

[TMI] KUALA LUMPUR, 16 Mac — Majlis Peguam akan mengemukakan aduan keatas salah laku peguam senior Tan Sri Cecil Abraham kepada Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara (ASDB) minggu depan, kata presiden barunya Christopher Leong hari ini.

Peguam Americk Singh Sidhu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam ke-67 hari ini mendedahkan kepada ahli dan wartawan bahawa beliau diberitahu Abraham telah bertanggungjawab mendrafkan pengakuan bersumpah kedua (SD) penyiasat persendirian P. Balasubramaniam pada 2006 melibatkan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Kami (juga) menggesa Pejabat Peguam Negara membuka semula siasatan kes Altantuya," kata Leong dalam satu sidang media selepas mesyuarat tersebut disini.

"Terdapat salah laku profesional (oleh Abraham) dan lembaga disiplin perlu menyiasat perkara tersebut serta mereka yang akan putuskan," tambah beliau.

Leong, 50, juga berkata Majlis Peguam akan meminta Americk dan usahawan karpet Deepak Jaikishan menyerahkan kenyataan rasmi dengan segera.

Deepak telah mengakui membantu mendiang Balasubramaniam menarik balik SD pertamanya termasuk mencari dua peguam untuk mendrafkan kenyataan baru.

Pihak ASDB merupakan salah satu badan bebas dalam Majlis Peguam, mengikut perundangan ditugaskan untuk menyiasat salah laku profesional.

Balasubramaniam atau dikenali sebagai "PI Bala" telah menuduh beberapa personaliti dalam kerajaan yang terlibat dalam kematian Altantunya menerusi SD pertamanya pada 2008, dua tahun selepas pembunuhan kejam wanita berusia 28 tahun.

Walaubagaimanapun beliau menarik balik SD tersebut keesokkan harinya dan menandatangani SD baru serta menafikan penglibatan personaliti tersebut.

Balasubramaniam telah meninggal dunia semalam akibat serangan jantung, beberapa minggu selepas pulang daripada persembunyian.

Dua bekas anggota unit tindakan khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri telah dijatuhi hukuman kerana membunuh Altantunya dan menghadapi hukuman mati.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan mereka pada Jun ini.

Leong berkata tiada tarikh yang ditetapkan untuk ASDB untuk melengkapkan siasatan keatas Abraham.

"Majlis Peguam mahu melihat proses berjalan dengan cepat dan pada masa sama proses itu menyeluruh," kata peguam tersebut.

Beliau menambah Pejabat Peguam Negara akan melihat semula kes Altantunya berdasarkan bukti daripada pendedahan Americk hari ini, selain penglibatan Deepak dalam kes tersebut.

"Banyak yang memperkatakan tentang kekurangan motif yang jelas keatas dua anggota polis tersebut untuk melakukan jenayah. Itu masih persoalan yang belum terjawab," kata Leong.

Beliau menambah ASDB dipengerusikan oleh hakim bersara Mahkamah Rayuan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan terdiri daripada 15 ahli lain.

Majlis Peguam merupakan sebuah badan perundangan dibawah tataterbib profesional yang terdiri daripada 14, 900 pengamal perundangan diseluruh negara.

Steven Thiru dan Richard Wee telah dipilih sebagai naib presiden Majlis Peguam dan setiausaha secara serentak hari ini, manakala Karen Cheah dilantik sebagai bendahari.




Friday, March 15, 2013

RIP P Balasubramaniam, Misteri Pembunuhan Altantuya Akan Terus Dibongkar!


[MK] Penyiasat persendirian P Balasubramaniam meninggal dunia hari ini selepas menderita serangan jantung di Rawang petang ini.

Sebelum ini dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, tiga arteri tersumbat dan separuh daripada jantung berhenti berdenyut memaksa beliau berhenti sebentar daripada terlibat dalam kempen Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau yang lebih dikenal sebagai "PI Bala" memainkan peranan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa Shaariibu, yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi politik.


Beliau mendaftar keluar dari Pusat Perubatan Sime Darby pada Selalu lalu tetapi mengalami kesukaran bernafas ketika makan tengah hari di restoran dekat rumahnya di Rawang kira-kira jam 2.30pm.

Balasubramaniam kemudian bergegas ke klinik untuk bantuan tetapi meninggal dunia sebelum ambulans daripada Hospital Sungai Buloh tiba.

"Beliau sepatutnya membuat pembedahan pintasan jantung dalam tempoh dua minggu," kata peguam dan anggota parlimen Subang R Sivarasa kepada Malaysiakini ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bulan lalu, Balasubramaniam mengalami serangan jantung kecil ketika bercakap dalam ceramah Pakatan Rakyat di Kota Bharu. 

Selepas membuat pemeriksaan perubatan apabila pulang ke Kuala Lumpur, beliau dimasukkan ke wad selama 10 hari di Pusat Perubatan Sime Darby.

Mendiang memberikan wawancara terakhirnya kepada Malaysiakinipada Isnin lalu.



P/s: RIP. 

Jasa terbesar mendiang sebelum meninggal dunia ialah mengesahkan kebenaran kandungan SD pertamanya. Misteri pembunuhan Altantuya akan terus dibongkar.



Berkaitan:

Kes Altantuya: Rayuan Bekas Anggota UTK Didengar 10 Jun

[Bernama] Mahkamah Rayuan menetapkan tiga hari mulai 10 Jun untuk mendengar rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darma Fikri Abu Adam memaklumkan pembelaan dan pendakwaan dalam kes itu bahawa Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif mengarahkan rayuan itu didengar dari 10 hingga 12 Jun.

Beliau berkata memandangkan tarikh itu jatuh dalam tempoh 'pengosongan prosiding mahkamah', satu panel khas akan bersidang untuk mendengar rayuan berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak juga dikehendaki memfailkan hujahan bertulis dua minggu sebelum 10 Jun.

Dalam tempoh itu, tiada prosiding mahkamah untuk mendengar rayuan namun hakim diberi masa menyiapkan alasan penghakiman atau menyampaikan penghakiman.

Rayuan itu disebut di depan Darma Fikri hari ini ketika pengurusan kes bagi memuktamadkan tarikh pendengaran.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mewakili pendakwaan manakala peguam Datuk Hazman Ahmad bagi pihak Cif Inspekstor Azilah Hadri.

Sirul Azhar, 39, dan Azilah, 34, disabit dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam pada 10 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang didakwa bersubahat membunuh wanita Mongolia itu bagaimanapun dibebaskan pada 31 Oktober 2008 selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.



Tuesday, March 12, 2013

"Altantuya tak izin saya mati dulu" - P Balasubramaniam


[MK] Campur tangan Tuhan dan malaikat pelindung telah menyelamatkannya daripada kematian yang dekat.

Begitu bekas penyiasat persendirian kontroversi P Balasubramaniam menyifatkan kejadian pada 3 Mac lalu di wad jantung di sebuah hospital swasta selepas dia disahkan mempunyai penyakit saluran koronori tersumbat.

Balasubramaniam, 53, percaya beliau boleh mati akibat serangan jantung pada bila-bila masa selepas meninggalkan India untuk pulang ke kampung halaman, justeru terlibat dalam kempen Pakatan Rakyat dan pelbagai program pertemuan dengan orang ramai.

Lebih dikenali sebagai PI Bala, kepercayaannya kuat untuk menyakini bahawa "pihak di atas" dan semangat wanita Mongolia yang terbunuh Altantuya Shaariibuu masih memerlukan dia dan perjuangannya.

"Tiap tahun, pada 19 Oktober, saya bersembahyang untuk dia (Altantuya). Saya harap suatu hari keadilan akan ditegakkan," kata Bala kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif pada Isnin lalu.



Sunday, March 10, 2013

[PANAS] Bala Dimasukkan ke Hospital, Angkara Sihir atau Sakit Jantung Biasa?


[KD] KUALA LUMPUR 10 Mac: Penyiasat Persendirian, P Balasubramaniam yang sebelum ini mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaariibu, dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Perkara itu dinyatakan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin kepada Keadilan Daily.

Menurut Badrul, Bala dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 5 Mac lalu, sehari sebelum dijadual berucap di ceramah ‘Siapa Arah Bunuh Altantuya’ di Parit Sulong, Johor.
Katanya, ketika program di Bachok Kelantan, Bala mengadu sakit dada dan disangka mengalami masalah gastrik serta hanya diberi ubat tahan sakit.

“Sehari sebelum ke Johor, doktor sahkan ada serangan jantung kecil. Bala dimasukkan ke CCU (Conorary Care Unit) selama empat hari dan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya menambah Bala akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat dan kini ditempatkan di wad biasa SJMC.


Menurut CheguBard, Bala akan menggantikan semula ceramah yang gagal dihadirinya di Parit Sulong, Johor dan Tuaran, Sabah sebaik keluar hospital.

“Dia nampak bersemangat. Kata Bala, dia balik ke Malaysia untuk membantu rakyat berdepan pilihan raya umum ke-13 dan BN perlu dijatuhkan. Bala berjanji, selepas rawatan dan berehat dia akan menjelajah ke seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, katanya, terdapat dakwaan mengatakan Balasubramaniam jatuh sakit kerana terkena ilmu sihir.

“Ada kawan-kawan sebut, ini angkara ilmu hitam. Saya tak tahu. Mereka (musuh Bala) boleh buat apa sahaja. Yang penting, kita tawakkal kepada Maha Pencipta,” kata Badrul.

Bala sebelum ini berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda, rakan rapat kepada perdana menteri yang menerima komisen pembelian kapal Selam Scorpene bernilai RM500 juta.

Pada Julai 2008, beliau mendedahkan akuan bersumpah (SD) mengaitkan perdana menteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dikatakan menjadi orang tengah dalam transaksi berkenaan.

Dalam SD tersebut, Bala juga mendakwa Najib Razak pernah melakukan hubungan seks dengan Altantuya, sebelum menarik balik dakwaannya dalam akuan bersumpah kedua.

Selepas itu, beliau menghilangkan diri ke luar negara dan pulang semula ke Malaysia pada 24 Februari lepas.




Friday, March 1, 2013

PI Bala: Altantuya Dakwa Razak Baginda Suaminya



[KD] KUALA LUMPUR 1 MAC: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) mendakwa, beliau pernah terserempak dengan Altantuya Shaariibuu di pejabat Abdul Razak Baginda, di Kuala Lumpur, sebelum wanita Mongolia itu dibunuh.

Bala berkata, beliau berselisih dengan Altantuya yang ketika itu keluar dari lif lobi bangunan Getah Asli, di Jalan Tun Razak – pejabat Abdul Razak.


Menurut Bala, beliau ke bangunan itu untuk bertemu Abdul Razak di pejabatnya – Perimekar Sdn Bhd.

Abdul Razak adalah pemilik Perimekar yang didedah menerima komisen RM570 juta dalam urus niaga pembelian Scorpene dari DCNS di Perancis dengan bantuan Altantuya.

Waktu itu, Bala bertugas sebagai pengawal peribadi Abdul Razak. Antara lain beliau dikehendaki mengawal keselamatan bangunan pejabat majikannya.

“Apabila sampai (di bangunan Getah Asli), saya naik lif untuk ke tingkat 10 dan berselisih dengan Altantuya serta dua rakannya.


“Saya berjumpa Razak di pejabatnya dan dia tunjuk satu nota yang mengandungi tulisan Altantuya berbunyi: “Tolong hubungi saya segera, saya menginap di Hotel Malaya di bilik bernombor **** dan nombor telefon bermula dengan 017,” jelas Bala.

Kata Bala, beliau kemudian turun ke lobi dan nampak Altantuya bersama dua lagi rakannya berada di kawasan itu dalam keadaan menunggu.

“Saya suruh pembantu saya agar memberitahu tiga perempuan itu jangan berdiri di kawasan lobi. Mereka kemudian keluar dan menunggu di hadapan bangunan. Saya terus telefon polis dan beritahu ada tiga perempuan (muka macam) Cina datang buat kacau,” katanya.

“Kemudian unit peronda sampai dan tak jauh dari situ saya lihat pegawai unit peronda itu menemu ramah Altantuya. Saya dengar Altantuya cakap, “Suami saya di tingkat 10, namanya Razak Baginda, saya mahu bertemu dia,” jelas Bala.

Menurut Bala lagi, pertemuannya bersama Abdul Razak di bangunan tersebut selepas mendapat arahan majikannya itu menerusi telefon, selepas kira-kira tiga hari pertemuan mereka sebelum itu.


Semua ini didedahkan Bala pada forum ‘Pendedahan: Siapa bunuh Altantuya’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Rabu lalu.

Ini kemunculan pertama Bala selepas pulang ke tanah air Ahad lalu sejak meninggalkan Malaysia pada 2009 kerana menerima ancaman.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan Altantuya yang dibunuh mengguna peledak C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Menteri Pertahanan, melulus pembelian kapal selam Scorpene.

Bala yang membuat dua akuan bersumpah berkaitan skandal Altantuya, mengulangi kenyataan bahawa akuan bersumpah pertama adalah benar manakala akuan bersumpah kedua, palsu. - Aisha Geoffrey



Tuesday, February 26, 2013

[Panas Membara] Bala DEDAH Orang Arah BUNUH Altantuya Malam Ini!!!


Bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) akan tampil di forum ‘Rungkai Misteri di Sebalik Pembunuhan Altantuya’ malam ini, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Bala yang membuat dua akuan bersumpah (SD) yang bercanggah berkaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiba di Malaysia petang Ahad lalu selepas empat tahun tinggal di India.

Empat lagi ahli panel forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu ialah Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin; Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel; Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath dan Kartunis Zunar.

“SAMM mempersiapkan sebuah pentas jelajah buat PI Bala sebagai saksi tragedi pembunuhan Altantuya, dengan sokongan pelbagai NGO dan kumpulan mahasiswa.

“PI Bala merupakan saksi paling berwibawa dalam kes pembunuhan Altantuya yang berkait rapat dengan skandal penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene,” kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

SAMM menjemput orang ramai menghadiri forum yang akan bermula jam 8.30 malam.



P/s: Siapa yang tidak tidur lena malam ini?


 


Sunday, February 24, 2013

[Paling PANAS] Bala BERSUMPAH SD Pertamanya Kaitkan Najib dengan Altantuya Adalah BENAR!!!


MK melaporkan Bala yang baru tiba di KLIA bersumpah bahawa SD (Akuan Bersumpah) pertamanya yang dibuat pada Julai 2008 adalah BENAR  SD itu mengaitkan Najib dengan rakyat Mongolia Altantuya Shaaariibu.

 "Saya bersumpah atas kitab suci ini bahawa SD pertama saya adalah benar. Saya memohon maaf kepada semua kerana SD kedua adalah tidak benar," kata Bala seperti yang dilaporkan oleh MC 

Bala berkata demikian sambil memegang Kitab Bhagavad Gita. --DCM

Berita penuh menyusul....


Kemas Kini:

Tujuan Pulang Untuk Bersama Rakyat Lakukan Perubahan, Kata Bala

[TMI] SEPANG, 24 Feb — P Balasubramaniam berkata kepulangannya ke tanahair adalah kerana mahu bersama-sama rakyat Malaysia lakukan perubahan untuk menukar kerajaan yang dianggapnya sebagai korup pada Pilihanraya 2013 yang dijangka tidak lama lagi.

Balasubramaniam merupakan salah seorang saksi dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantunyaa Shaariibuu pada 2008 dan mencetus kontroversi selepas menukar Pengakuan Bersumpah (SD) sehari selepas membuat pengakuan yang pertama.

“Saya pulang kerana mahu bersama rakyat Malaysia.

“Kita perlu menukar kerajaan yang korup ini, kita perlu tukar. Jika kita biarkan berlanjutan 50 tahun lagi, negara kita akan teruk,” kata Subramaniam yang baru tiba dari India hari ini.

Dalam laporan media awal minggu lalu, Balasubramanian telah menyatakan hasratnya secara terbuka untuk pulang ke Malaysia dan menetap secara tetap serta pada masa membantu Pakatan Rakyat (PR) berkempen dalam pilihan raya nanti.

Apabila ditanya mengapa sekarang baru pulang ke Malaysia, Balasubramaniam berkata beliau mendapati sokongan dan kebangkitan rakyat Malaysia untuk menentang kerajaan sebagai salah satu keyakinan buat dirinya untuk pulang ke Malaysia.

“Sepanjang saya di luar negara, saya ada memantau tentang perkembangan politik di Malaysia.

“Saya lihat rakyat Malaysia telah bangkit dan berani melawan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini, penyiasat persendirian itu bersumpah secara terbuka mengatakan SD pertamanya adalah tulen dihadapan kira-kira 50 penyokong PKR yang menanti kepulangannya selepas beberapa tahun menghilangkan diri diluar negara.

“Di hadapan kitab suci agama Hindu (Bhagaravad Gita) ini, saya bersumpah bahawa Pengakuan Bersumpah yang kedua adalah tidak benar tetapi yang pertama tersebut adalah benar,” ujar Balasubramaniam.

Beliau juga sekali lagi menegaskan kepada wartawan bahawa SD kedua yang ditandatanganinya ketika itu adalah secara paksaan dan bukan sukarela.

“Semasa insiden yang berlaku pada malam itu, saya terpaksa menukarnya kerana bimbang tentang keselamatan keluarga dan diri saya.

“Saya minta maaf dengan masalah selepas SD kedua itu, tapi ingin saya ulangi disini SD kedua adalah bukan pengakuan yang sebenarnya,” kata Balasubramaniam lagi.

Balasubramaniam yang tiba seorang diri tanpa ditemani ahli keluarganya yang masih berada di India kelihatan tenang dan mengulangi pendiriannya untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya 2013.

Selain itu, Balasubramaniam juga berkata kekesalannya meninggalkan negara secara tergesa-gesa sebaik menandatangani SD kedua memandangkan situasi ketika itu memaksa dirinya untuk melakukan demikian.

“Selepas kejadian dan ugutan yang saya dan keluarga, tiada jalan lain selain keluar dari Malaysia,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang pendedahan oleh usahawan karpet Deepak Jaikishan yang mengatakan membantunya dalam mendrafkan SD kedua, Balasubramaniam mengatakan perkara tersebut adalah benar dan tidak perlu disembunyikan lagi.







Tuesday, December 11, 2012

[PANAS- Video] Deepak Jaikishan yang Dikaitkan dengan Hajah Rosmah/Haji Najib Buka Mulut 2


[HD] KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan (gambar) mendedahkan, penglibatan beliau untuk membuat akuan bersumpah kedua (SD 2) P Balasubramaniam bukan untuk menyelesaikan isu SD itu saja tetapi menyekat pendedahan yang lebih besar.

"Satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka.

"Mereka sudah bersedia, salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini (pembunuh Altantuya) dan siapa yang mengarah orang itu. Ini sangat high level.

"Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni. Objektif utama besar dari itu.

"Mereka kena hentikan langkah seterusnya. Malam itu jugak kena siap, kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah utamanya," cerita Deepak dalam sidang media khas dengan Harakah.

Deepak dalam sidang media kali ini menceritakan dengan jelas bagaimana beliau boleh terlibat dengan SD 2 yang dibuat oleh PI Bala ini.


Berikut adalah cerita penuh Deepak kepada Harakahdaily.

"Kalau boleh kita bincang secara terperinci bagaimana SD ini bermula.

Saya mendapat panggilan pada hari SD itu dibuat pada jam 6-7 malam. Saya dipanggil oleh Datin Rosmah Mansor melalui telefon.

Dia suruh saya cari jalan menyelesaikan masalah dia. Saya pernah jumpa dengan Bala satu dua kali sebelumm itu tetapi tidak kenal rapat dia.

Saya call kawan saya untuk cuba berjumpa dengan dia tetapi dia keberatan dan tidak mahu berjumpa.

Saya telefon Datin Seri dan berkata, ini susah dan tak nampak jalan penyelesaian benda ini. Sebelum inipun saya banyak bantu Datin mana-mana perkara yang dia perlukan. Saya cubalah kalau ada kawan.

Saya kata kepada Datin, hal ini bukan senang untuk diselesaikan. Dia pun minta saya "datang rumah sekarang dan jumpa suami saya. Biar Datuk Seri buat keputuan bagaimana".

Saya pergi ke rumah mereka. Datin dan Datuk tinggal di Sri Satria. Kadang-kadang dia orang duduk di Sri Duta dan kadang-kadang Sri Satria. Malam itu mereka duduk di Sri Satria.

Saya masuk rumah lebih kurang lapan lebih malam dan saya bercakap dengan Datuk Seri mengenai keadaan ini dan orang ini tidak mahu jumpa dan kata dia sudah buat SD yang benar dan dia tidak mahu berjumpa pun dengan saya. Saya tidak tahu bagaimana nak menyelesaikan benda inilah.

Pertama dia telefon satu lawyer. Lepas itu dia telefon adik dia, lawyer juga. Lepas bincang, dia minta saya agar mencari jalan untuk jumpa dia (Bala) dan cari jalan supaya dia setuju, untuk batalkan SD dia.

Saya telefon Bala, kita bincang atas telefon. Dia kata, dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri kalau nak dia menarik balik dia punya SD.

Dia pun jenis orang yang keras. Dia cakap dia tak tipu, apa yang dia letak dalam SD pertama semuanya benar.

Saya pun susahlah macamana dia nak jumpa Datuk Seri dan Datin Seri. Saya beritahu Datuk Seri, kita berada dalam suasana yang susah. Masa itu Datin Seri pun ada dalam bilik belakang, tingkat pertama. Dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri. No way lah, nak keluar masuk pun susah, ada bodyguard semua.

Datuk Seri propose (cadangkan) Datuk Nazim yang jumpa Bala. Saya bagi dia tahu, dia (Bala) cakap ok, boleh jumpa, tetapi dia nak bincang dengan saya sesuatu dulu.

Saya pergi ke Rawang di satu restoran Cina, duduk dengan dia dekat sana. Saya, dia, sepupu saya yang kenal dia dan seorang pegawai polis bekas D9 yang nama dia Suresh.

Bincang-bincang, dia kata kalau buat SD 2 dia takut, bagaimana dia nak protect dia dan famili. Saya kata, yang terbaik awak tinggalkan Malaysialah. Kita boleh uruskan kalau dia mahu. Kalau awak nak kekal di Malaysia, tak ada isulah sebab kerajaan bersama kamu.

Lepas itu kita bincang hal duitlah. Dia minta satu jumlah yang sangat besar dan saya tidak fikir saya boleh urus untuk dapatkannya. Saya hanya peniaga karpet bukan ada perniagaan bilion untuk keluarkan jumlah itukan. Saya kata, lebih baik awak cakap dengan Datuk Nazimlah.

Saya minta Datuk Nazim datang ke Rawang tetapi dia tidak mahu. Dia mahu kita pergi ke The Curve, dekat Mutiara Damansara.

Jadi kami pergi The Curve, ketika itu hari dah malam dah dekat jam 12 ke 1 pagi. Datuk Nazim bawa isteri dia sekali, isteri dia ketika itu sedang mengandung. Susahlah, isteri tak mahu tinggalkan suaminya.

Bala tak mahu bercakap dengan saya, dia mahu runding terus dengan mereka. Dia fikir kalau runding dengan saya, saya ada kuasa ke nak lindung dia, nak penuhkan permintaannya dari segi kewangan yang dia minta. Saya tak ada.

Dia bincang dengan Datuk Nazim, dia kata dia nak sejumlah wang, mahu dia dilindungi dan mahu meninggalkan negara ini. So dia (Nazim) promise (janji) dengan dialah tetapi kamu kena tukar SD itu.

Nazim kemudian telefon dan bincang dengan  abang dia, siapa yang akan siapkan SD.

Datuk Seri Najib pilih seorang peguam (nama disembunyikan sehingga pengesahan) dan anaknya untuk siapkan dokumen. Selepas itu kita pergi ke KL Hilton, saya ambil bilik untuk Bala sementara peguam siapkan SD. Mereka terus berkomunikasi antara adik dan dia serta peguam semua, apa yang nak dimasukkan ke dalam SD dan sebagainya.

Selepas itu, peguam datang ke KL Hilton ke bilik dan duduk. Siapkan laptop dia dan bincang semua. Siapkan versi terakhir dan Bala tandatangan malam itu.

Kemudian mereka nak buat sidang media. Bila nak buat PC, saya tak kenal siapa-siapa masa tu, saya low profile. Jadi saya hubungi Ketua Setiausaha Datuk Najib, you kena uruskan sebab saya tidak tahu siapa yang hendak di bawa, mainstrem ke, internet ke, saya tidak kenal siapa-siapa.

Last minute, peguam tidak mahu bersama Bala dan tidak mahu nama dia ada di situ. Saya kena hubungi kawan saya, yang juga peguam, tetapi dia tidak terlibat dengan hal itu. Saya kata, awak hanya datang dan duduk dengan Bala. Bala pun masa itu sangat tertekan.

Peguam saya pergi bersama dengan Bala, mereka pergi ke Prince Hotel kira jam 9 - 10 pagi. Pergi Prince Hotel dan umumkan SD yang telah disiapkan malam itu. Peguam saya bernama Arulapalam tetapi dia tidak terlibat dalam membuat SD itu, dia seorang peguam yang senior. Itu
yang berlaku. Objektifnya mahu pusing (riverse) SD Bala.

Banyak orang fikir, dia mahu menukar SD yang Bala bagi, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu. Sebab utama SD itu, seorang yang terlibat dalam kes itu, kes Altantuya, telah  bersetuju untuk memberitahu cerita sebenar. Opposition side mahu mempastikan cerita sebenarlah.

Tetapi satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka. Mereka sudah bersedia, salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini dan siapa yang mengarah orang itu. Ini sangat high level.

Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni. Objektif utama besar dari itu. Mereka kena hentikan langkah seterusnya. Malam itu jugak kena siap, kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah utamanya.

Banyak orang melihat SD 1, SD 2. Sebenarnya tidak ada kena mengena SD 1 atau SD 2 atau 3. Yang utama adalah kebenaran yang akan keluar, seorang yang terlibat secara langsung, direct involve, dia nak datang nak buat SD menyatakan siapakah yang arahkan dia dan orang itu diarahkan oleh siapa. Ini yang utama dan sesuatu yang sangat serius.

Selepas kes Bala, saya telah dipanggil oleh SPRM dan siasat tetapi SPRM lebih berminat untuk tutup hal itu. Mereka tahu kebenaran seluruhnya tetapi mereka mahu tutup. Jadi tidak ada tindakanlah. Sebab itu kes tutup.

Saya minta, SPRM buka balik penyiasatan kes ini, dedahkan kebenaran, jelaskan apa sebenarnya berlaku. Mengapa perkara ini dibiarkan saja dengan cara ini dan asas kenapa kes ini ditutup.

Saya yakin dalam SPRM mesti ada orang yang baik. Tidak mungkin semua orang nak dengar cakap sepasang suami isteri, kita ada 28 juta manusia kat Malaysia, kenapa tidak nak dengan pandangan sepasang suami isteri sahaja. Bertindak untuk kebenaran tak salah.

Jadi saya minta SPRM dan polis siasat perkara sebenar-benarnya. IGP sekarang atau IGP sebelum ini, sesiapapun, biarlah kebenaran keluar.

Sekurang-kurangnya kita menghormati pihak penguatkuasa kita menjalankan tugas bukan mengikut arahan sepasang suami isteri sahaja. Negara ini lebih dari itu. Itu saja."

Laporan pertama di sini.