[SH] TEMERLOH - Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan tiga tawaran mega peringkat pusat dan enam tawaran lagi peringkat negeri kepada rakyat Pahang sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan berlangsung sebelum akhir Jun depan.
Tawaran peringkat Pusat ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Tawaran peringkat negeri pula ditandatangani Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman; Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.
Anwar mengumumkan tawaran itu di hadapan lebih 20,000 penyokong pakatan pembangkang semasa program Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Dataran Rakyat, Kompleks Pas Pahang, Kerdau dekat sini semalam.
Anwar bersama pemimpin PR Pusat dan negeri mengumumkan tawaran mega kepada rakyat Pahang sekiranya mereka menang dalam PRU-13 nanti pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Dataran Rakyat, Tapak Kompleks Pas Pahang.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, tawaran itu adalah tambahan PR di mana ia untuk memenuhi keperluan dan hak setiap negeri.
“Setiap PR di negeri akan mengenal pasti beberapa tambahan untuk diberikan kepada rakyat yang mana ia adalah satu tawaran untuk kebaikan rakyat di bawah pemerintahan PR,” katanya.
Tiga tawaran mega peringkat Pusat itu ialah:
PERTAMA: Menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, bekas anggota polis dan tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.
KEDUA: Memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus setahun (bukannya lima peratus) kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi kelak.
KETIGA: Memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja
menaiktaraf jalan yang terbengkalai seperti Jalan Jerantut–Benta, Jerantut–Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara dua negeri seperti Kuantan–Jerantut–Kuala Lipis–Gua Musang, Kuantan–Segamat dan Kuala Lipis–Raub–Bentong–Seremban dan Jerantut–Ulu Tembeling–Dungun dengan pelaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi negeri Pahang.
PR Pahang pula mengisytiharkan enam tawaran mega sekiranya mereka berjaya menawan Pahang dalam PRU13.
Pengumuman itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.
Enam tawaran itu ialah:
- menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula kampung-kampung baru dan kampung tersusun
- menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat
- mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ia tidak diceroboh sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
- memudahkan urusan pertukaran status pertanian kepada lot perumahan atau bangunan
- menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan mineral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan
- sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri yang ditadbir PR.
No comments:
Post a Comment