Wednesday, December 12, 2012

Susulan Kes Rompak & Rogol Tukang Urut: Penganggur Pasang "Ball Bearing" pada Anu & Rakan Mengaku Salah

Foto: NST

[HM] SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang wanita Vietnam berusia 19 tahun di sebuah premis urut, akhir bulan lalu.

Mohamad Fadzlie M Rosdi, 20, turut dihadapkan ke mahkamah sama bersama buruh kasar, Mohd Khairiell Idzham Hashimi, 21, atas dua tuduhan merompak pusat urut di Setapak itu dengan menggunakan parang sehingga menyebabkan penjaga premis terbabit serta seorang lagi rakannya cedera.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Bagaimanapun, Emelia Kaswati menetapkan 18 Disember depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan cap jari kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Fadzlie didakwa merogol wanita berkenaan sehingga menakutkan mangsa dengan ancaman bunuh atau kecederaan, pada jam 1 pagi, di sebuah premis urut di Setapak, 25 November lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, Mohamad Fadzlie dan Mohd Khairiell didakwa bersama dua lagi yang masih bebas dengan niat bersama merompak premis urut itu yang dijaga seorang lelaki berusia 51 tahun dengan parang sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama sehingga menyebabkan rakan penjaga premis berkenaan, seorang lelaki 44 tahun cedera.

Pendakwaan terhadap dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan semalam dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Zulkifli Osman.

Berdasarkan fakta kes, premis urut itu didatangi tiga lelaki untuk tujuan merompak yang mana dalam kejadian itu suspek menggunakan parang dengan mencederakan penjaga premis di telinga sehingga lelaki itu menerima 120 jahitan, manakala, rakan penjaga premis berkenaan ditetak di tapak tangan.

Namun, selepas mendapati ada dua wanita Vietnam yang juga pekerja di situ bersembunyi di dalam bilik, suspek menarik mereka sebelum merogol mangsa.

Mohamad Fadzlie dipercayai merogol seorang daripada wanita itu dan ketika kawad cam dibuat, mangsa mengecam tertuduh menerusi satu objek keras di kemaluannya dipercayai kerana dipasang ‘ball bearing’.

Kejadian samun dan rogol itu dirakam kamera CCTV dan wajah suspek dipaparkan media untuk diburu sebelum Mohamad Fadzlie menyerah diri pada 30 November lalu dan seterusnya penangkapan terhadap Mohd Khairiell dibuat pada 4 Disember lalu.


Laporan awal di sini.



No comments:

Post a Comment