Tuesday, December 11, 2012

Awas! Taktik Malaon "Rompak" Wang Anda Menggunakan Telefon



[SH] ALOR GAJAH - Pelik, tetapi benar.

Hanya dengan satu panggilan telefon tanpa terputus talian selama lebih empat jam, wang tunai berjumlah RM16,457 milik seorang guru wanita lesap sekelip mata.

Semuanya gara-gara terpedaya dengan helah tiga lelaki mendakwa mereka kakitangan Pos Malaysia, pegawai polis dari Bukit Aman dan pegawai Bank Negara, Menceritakan detik hitam itu, mangsa dikenali sebagai Ita Rahmat (bukan nama sebenar), 36, berkata, kejadian bermula jam 11.15 pagi kelmarin apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengatakan dirinya dari Pos Malaysia.

“Dia beritahu saya ada surat dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tetapi surat itu sudah dihantar semula ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Dia beri saya satu nombor siri dan mengatakan akan sambungkan talian saya kepada pihak polis,” kata Ita sambil memberitahu dia menerima panggilan seterusnya setengah jam kemudian selepas sambungan terputus.

Menurutnya, panggilan yang diterima pada jam 11.45 pagi itu datang daripada seorang lelaki yang kemudiannya meminta dia menyebut nombor siri tersebut.

“Selepas menyatakan nombor siri itu, saya terkejut apabila dia memberitahu saya perlu ke mahkamah berhubung satu kes tangkapan seorang lelaki tidak dikenali. Tambahnya, sebanyak RM80,000 telah dikeluarkan atas nama saya di bawah sebuah bank tempatan, tetapi saya beritahu dia saya tidak ada buka akaun di bank tersebut,” katanya.

Panik akaun bank akan dibekukan Bagaimanapun, Ita berkata, pegawai polis itu memberitahu dia perlu 'memindahkan' semua wang yang dia ada di bank kepada akaun bukan miliknya kerana akaun di atas namanya akan dibekukan.

Ita yang mula panik mendengar perkhabaran tersebut, kemudian disambungkan kepada seorang lelaki lain pula yang mendakwa dirinya Pegawai Kewangan Bank Negara.

“Pegawai kewangan itu menyuruh saya mengisytiharkan akaun dan jumlah simpanan yang ada. Selepas itu, saya diarahkan agar tidak mematikan talian telefon dan diminta ke sebuah bank di Masjid Tanah dengan memindahkan sebanyak RM9,057 ke dalam satu akaun lain yang diberi,” katanya.

Menurut Ita, selesai urusan di bank, lelaki itu mintanya ke Pejabat Pos pula dan mengarahkan dia mengeluarkan sejumlah RM7,500 simpanan lain dan meminta ia dimasukkan ke dalam satu lagi akaun.

“Bagaimanapun hanya RM5,000 dapat dimasukkan ke dalam akaun tersebut yang didaftarkan atas penama lain.

Baki RM2,500 kemudian saya diminta masukkan ke dalam akaun lain lagi. Tetapi disebabkan masalah teknikal, hanya RM2,400 dapat dimasukkan,” kata Ita yang telah memindahkan sejumlah RM16,457 ke dalam tiga akaun berbeza.

Talian tidak dimatikan lebih empat jam Ita berkata, ketika kesemua transaksi itu dilakukan, talian telefon langsung tidak dimatikan.

“Saya berhubung dengan mereka tanpa memutuskan talian sejak jam 11.45 pagi sehinggalah transaksi terakhir kira-kira jam 4 petang.

“Selepas memasukkan kesemua duit, saya terpaksa menunggu selama tiga jam sebelum lelaki berkenaan memaklumkan pihak Bukit Aman akan menghubungi saya,” katanya.

Ita yang berasa tidak sedap hati dengan apa yang berlaku kemudian bertindak menghubungi talian Bukit Aman sebelum panggilannya disambut seorang wanita memaklumkan bahawa dia telah ditipu dan diminta supaya berhati-hati.

“Saya beritahu masalah saya kepada wanita berkenaan namun wanita itu meminta saya berwaspada memandangkan banyak kes penipuan melalui talian,” katanya yang terus membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, kelmarin.

Ita yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Cawangan Jenayah Komersil mendakwa sangat terkilan dengan apa yang berlaku dan ia menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan melalui talian telefon,” katanya.


No comments:

Post a Comment