Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Monday, April 1, 2013

Malang Si Dara: Dilanggar, Dirogol, Diajak Bercinta


[HM] Teluk Intan: Seorang wanita berusia 22 ditimpa nasib malang berganda apabila bukan saja motosikalnya dilanggar, malah dia dirogol pemandu kereta yang melanggar motosikalnya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, mangsa yang menetap di Kampung Air Hitam, Changkat Jong, dalam perjalanan ke rumahnya selepas tamat kerja.

Dalam perjalanan itu, motosikal yang ditunggang mangsa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki menyebabkan mangsa patah tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, sejurus kemalangan, suspek keluar dari kenderaannya dan memapah mangsa ke dalam keretanya sebelum merogol wanita berkenaan.

Beliau berkata, ketika itu mangsa mendakwa berada dalam keadaan lemah, tetapi masih mampu mengingati dirinya dirogol suspek.

Goh berkata, sebelum menghantar mangsa pulang ke rumahnya, suspek berpura-pura sudah jatuh cinta dengan mangsa dan ingin meneruskan hubungan dengan lebih serius.

“Suspek memberikan nombor telefon bimbitnya kepada mangsa dan menghantarnya pulang ke rumah. Suspek juga meminta mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, selepas suspek beredar dari rumah, mangsa memaklumkan dirinya dirogol sebelum keluarganya membuat satu laporan di Balai Polis Langkap.

Goh berkata, pasukan polis menyerbu rumah suspek di Sungai Manik sejam kemudian, namun gagal menemui suspek.

“Kami menghubungi suspek menerusi telefon bimbitnya iaitu nombor yang diberikan mangsa dan memintanya melaporkan diri di Balai Polis Langkap.

“Suspek berusia 31 tahun itu akhirnya menyerah diri di balai polis itu pada malam kejadian sebelum ditahan reman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
 
 

Friday, March 8, 2013

Elak Pocong, Kereta Masuk ke dalam Parit



[SH] KUALA KURAU - Seorang pekerja kilang nyaris maut apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam parit akibat cuba mengelak objek misteri seperti pocong yang merintangi jalan di Kampung Sungai Baru, di sini, semalam.

Mangsa yang hanya dikenali Janariah, 38, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 6.15 pagi itu, dia yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, keadaan ketika itu masih gelap dan ketika melalui laluan itu, dia terlihat objek aneh berwarna putih berada di atas jalan.

“Saya cuba mengenal pasti objek tersebut dan terkejut mendapati ia seakan-akan hantu pocong yang muncul tiba-tiba di atas jalan.

“Akibatnya, saya tidak dapat mengawal kenderaan dan terus menjunam ke dalam parit yang terletak di tepi jalan berkenaan,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Janariah berkata, walaupun keretanya hampir tenggelam di dalam parit, dia tidak keluar dari kenderaan berkenaan akibat berasa takut mengenangkan objek mistik putih yang dilihatnya.

Jelasnya, bagaimanapun, dia sempat menelefon adiknya untuk meminta bantuan dan menceritakan kejadian yang menimpa dirinya.

Sahabat karib mangsa yang hanya dikenali Hayuzzi berkata, sewaktu kejadian berlaku, dia dalam perjalanan ke sebuah pasar awam di Tanjung Piandang untuk membeli barangan perniagaan.

Katanya, dia terkejut melihat kelibat manusia dan cahaya lampu dari dalam parit.

“Setibanya di lokasi kejadian, saya sekali lagi terkejut apabila mengetahui kelibat itu adalah rakan karib saya yang tinggal berhampiran rumah.

“Keadaan mangsa pada waktu itu seperti terpinga-pinga dan tidak mampu bercakap,” katanya.

Hayuzzi berkata, setelah pulang ke rumah barulah Janariah menceritakan punca kemalangan berlaku kepada orang kampung.

“Ini merupakan kejadian kemalangan kedua berlaku di laluan itu melibatkan kenderaan terhumban setelah terlihat sebuah objek aneh dalam tempoh dua tahun,” katanya.
 
 

Friday, January 11, 2013

[Video & Gambar] Kereta JPJ Dibakar...


Kereta JPJ Dibakar Selepas Kemalangan 10 Buah Kenderaan
[MK] Sebuah kenderaan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diterbalikkan dan dibakar oleh orang ramai yang marah selepas kemalangan teruk yang membabitkan 10 kenderaan di Ayer Tawar, Perak petang ini.

NONETimbalan OCPD Manjung, Ahmad Mat Isa memberitahu Malaysiakini bahawa 15 orang mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan tersebut, tetapi tidak seorang pun dimasukkan ke hospital.

Beliau juga mengesdahkan tidak ada kematian dilaporkan setakat ini.

Kemalangan itu berlaku petang ini selepas sesi persekolah di Jalan Beruas-Ayer Tawar, yang  melibatkan kenderaan penguatkuasa pacuan empat roda JPJ , dua bas sekolah, dua lori, sebuah motosikal dan empat buah kereta.

Seorang saksi telah memuat-naik ke Facebook video selama lapan minit yang menunjukkan sekumpulan orang ramai marah dan menjerit serta membaling objek ke arah kenderaan pacuan empat roda itu.

Mereka kemudiannya menterbalikkan kenderaan itu sebelum dua anggota polis trafik tiba dan cuba untuk menghalang mereka.

Bagaimanapun, mereka gagal untuk meredakan kemarahan orang ramai dan mereka bertindak memecahkan tingkap kenderaan, itu diiringi oleh teriakan marah "bakar!"

Selepas satu objek dibaling ke arah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik itu, ia terbakar, memaksa orang ramai berundur.

Tidak lama kemudian, beberapa anggota bomba datang dan memadamkan api.

Saksi-saksi mendakwa kemalangan itu disebabkan oleh kereta peronda JPJ yang cuba memintas sebuah lori, tetapi ia dinafikan oleh Ahmad, yang berkata kereta peronda itu telah dilanggar oleh lori.

Beberapa jam selepas kejadian itu, sekurang-kurangnya tiga video dimuat naik di Facebook dan puluhan gambar dan komen tersebar di Internet. Orang ramai kelihatan mengambil gambar dan video dengan telefon bimbit mereka.

Malaysiakini telah cuba untuk mendapatkan komen Pengarah JPJ Perak Ramli Awang Seberang, tetapi seorang kakitangannya berkata sebaik mengetahui tentang kejadian itu, beliau telah meninggalkan mesyuarat yang dipengerusikannya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berikutan itu, Malaysiakini telah meninggalkan nombor telefon dengan pejabat pengarah JPJ itu untuk dihubunginya dan mengulas kejadian itu.



Gambar dari MM: